Quantcast
Channel: HalWanita.Com » Tips Keluarga
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2

5 Cara Mendidik Anak Menjadi Cemerlang

$
0
0

Seorang anak yang cemerlang, bukan sahaja yang sentiasa mendapat markah penuh dalam peperiksaan tetapi anak yang cemerlang adalah anak yang berjaya di dunia dan juga di akhirat.

Anak merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada ibu dan bapa. Jadi menjadi tanggungjawab anda sebagai ibu dan ayah untuk mendidik dan membentuk anak-anak anda menjadi seorang insan yang berguna.

Di dalam artikel ini dikongsikan 5 Cara Mendidik Anak Menjadi Cemerlang yang boleh dijadikan panduan untuk memastikan anda mendidik mereka dengan cara yang betul.

5 Cara Mendidik Anak Menjadi Cemerlang

5 Cara Mendidik Anak Menjadi Cemerlang

1) Menjaga Pemakanan – Amalan pemakanan yang sihat dan halal sentiasa perlu diutamakan. Anda perlu memastikan agar anak-anak anda mendapat makanan yang seimbang dan yang kaya dengan nutrisi untuk memastikan mereka membesar dengan sihat. Bila badan sihat, otak pun akan lebih fokus. Malah anda juga digalakkan untuk menyediakan sendiri makanan untuk anak-anak anda di rumah. Makanan yang dimasak sendiri di rumah, lebih menyihatkan berbanding makanan yang dibeli dari luar yang kebiasaannya berminyak dan telah ditambah dengan perisa. Biarpun rasanya sedap namun ia tidak menyihatkan.

2) Luangkan Masa Bersama – Anak-anak yang sedang membesar amat memerlukan kasih sayang dan sokongan dari kedua ibu bapa. Menjadi peranan utama seorang ibu dan bapa untuk memastikan anak mereka sentiasa riang dan rasa disayangi. Biarpun anda sibuk dengan kerjaya, anda tidak sepatutnya mengetepikan waktu bersama anak-anak. Luangkan masa sekurang-kurangan sejam dua sehari untuk beriadah bersama anak-anak. Lakukan aktiviti-aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan mereka. Contohnya seperti bermain badminton atau berbasikal bersama. Anak yang aktif tubuh badannya, pasti akan lebih sihat dan cergas.

3) Utamakan Kebajikan Anak – Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan kebajikan anak anda sentiasa terpelihara. Utamakan soal keselamatan dan kesihatan mereka. Selain menyediakan keperluan asas untuk mereka, pastikan juga kesihatan mereka sentiasa berada pada tahap yang baik. Jika anak mengadu rasa sakit atau kurang selesa, bawa mereka ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Jika anak mengadu dibuli disekolah atau dikawasan permainan, menjadi tugas anda untuk memantau dan mencari jalan penyelesaian. Jangan sesekali menganggap aduan dari anak anda itu sebagai remeh.

4) Didikan Agama – Anak yang cemerlang perlu ada didikan agama yang kukuh. Selain menyediakan keperluan dunia buat anak-anak anda, keperluan akhirat juga perlu diutamakan. Didik anak untuk bersolat, berpuasa dan melakukan kebaikan dari umur mereka masih kecil lagi. Kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya kan. Jika anak ada melakukan kesalahan, nasihat dengan cara yang baik. Nasihat dan berikan tunjuk ajar sehingga anak anda benar-benar faham dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Jika perlu dipukul, pukul kerana ingin mendidik. Jangan sekali memukul sehingga ke tahap mendera. Anak yang berada dalam ketakukan, pasti akan hilang fokus.

5) Jadilah Teladan Yang Terbaik Buat Si Anak – Jika ingin mendidik anak untuk menjadi baik, anda perlu menjadi contoh yang baik terlebih dahulu. Setiap perbuatan ibu dan ayah, akan menjadi ikutan buat si anak. Tidak guna anda mendidik anak untuk mengamalkan nilai-nilai murni, walhal anda sendiri tidak mengamalkannya. Anak-anak lebih cepat belajar dari apa yang mereka lihat. Jadi cara terbaik untuk mendidik seorang anak adalah dengan mengamalkannya sendiri. Contoh jika anda ingin mendidik anak untuk solat lima waktu, maka sebagai ibubapa, andalah yang perlu melakukannya terlebih dahulu. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.

Didiklah anak anda dengan penuh kasih dan sayang. Jangan terlebih manja dan jangan terlalu tegas. Cubalah amalkan panduan di atas ini, mudah-mudahan anak-anda akan menjadi anak yang cemerlang dunia dan akhirat.

Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan halwanita.com


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2

Latest Images